JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- QSR Brands menerusi KFC Malaysia dengan kerjasama Yayasan JCorp terus memainkan peranan dalam membangunkan tenaga kerja masa depan apabila melahirkan 37 lagi graduan berkemahiran menerusi Program Akademi Dalam Industri (ADI). QSR Brands dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu mencerminkan komitmen KFC Malaysia dalam menyediakan laluan kerjaya yang bermakna kepada golongan muda dengan menggabungkan pendidikan dan pengalaman industri secara langsung, sekali gus membolehkan pelajar memperoleh kemahiran praktikal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- QSR Brands menerusi KFC Malaysia dengan kerjasama Yayasan JCorp terus memainkan peranan dalam membangunkan tenaga kerja masa depan apabila melahirkan 37 lagi graduan berkemahiran menerusi Program Akademi Dalam Industri (ADI).
QSR Brands dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu mencerminkan komitmen KFC Malaysia dalam menyediakan laluan kerjaya yang bermakna kepada golongan muda dengan menggabungkan pendidikan dan pengalaman industri secara langsung, sekali gus membolehkan pelajar memperoleh kemahiran praktikal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kementerian Pendidikan Zulkernai Fauzi berkata program ADI ialah penanda aras terbaik bagi integrasi antara sektor industri dengan pendidikan yang wajar diperluas.
Pelajar memperoleh pensijilan yang diiktiraf sambil menimba pengalaman kerja sebenar. Itulah hala tuju yang sedang kita usahakan bagi pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia.
“Kohort graduan terbaharu ini meneruskan kejayaan pengambilan sulung membabitkan 23 pelajar yang menamatkan latihan industri pada Mac 2025.
Dengan itu, jumlah keseluruhan graduan ADI yang telah dilatih oleh KFC Malaysia kini meningkat kepada 60 orang,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan JCorp Rozaini Mohd Sani dalam kenyataan sama berkata penyertaan dalam program ADI membuka peluang kepada golongan muda tanpa mengira latar belakang untuk membina keyakinan diri serta memperoleh kemahiran praktikal bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
“Sokongan berterusan daripada rakan strategik seperti QSR Brands mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan tenaga kerja masa depan Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Sumber Manusia QSR Brands (M) Holdings Bhd Dr Sharifah Musainah Syed Alwi pula berkata kejayaan Kohort 2 membuktikan keberkesanan serta keupayaan program berkenaan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
“Ia bukan sekadar menyampaikan sijil, sebaliknya memberikan pengiktirafan kepada pelajar yang telah menjalani latihan di restoran sebenar, mengendalikan operasi serta menguasai kemahiran yang diiktiraf,” katanya.
QSR Brands memaklumkan kesemua pelajar dalam kohort berkenaan menjalani latihan di restoran KFC di Johor Bahru berasaskan sukatan pelajaran vokasional Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan Segera.
Mereka turut didedahkan kepada operasi restoran, perkhidmatan pelanggan, penyediaan makanan serta pematuhan piawaian di tempat kerja, sekali gus membolehkan mereka menguasai kecekapan berkaitan industri sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.
Kohort kali ini turut mencatat keputusan cemerlang dengan kadar kelulusan 100 peratus bagi Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3, manakala 95 peratus pelajar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menurut QSR.
Setiap graduan menerima lima kelayakan, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV), SKM Tahap 2, SKM Tahap 3, Sijil Tamat Program dan Sijil Penghargaan daripada QSR Brands. Majlis graduasi Kohort 2 turut mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar menerusi penyampaian Anugerah Perantis Terbaik (Kategori Industri), Anugerah Perantis Terbaik (Kategori SPM) dan Anugerah Dokumentasi Perantisan Terbaik.
Program ADI yang diperkenalkan sejak Jun 2023 ialah inisiatif pertama dalam sektor restoran perkhidmatan segera di negara ini hasil kerjasama strategik antara KFC Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Pendidikan.