Kami berkongsi perjalanan Yayasan JCorp sepanjang tahun 2025 dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan menyuburkan potensi masyarakat. Sebagai pemacu impak sosial Johor Corporation, kami membina kerjasama mampan bagi memperkukuh komuniti dan memacu perubahan. Kami beraspirasi untuk membentuk masa hadapan yang lebih inklusif menerusi bidang fokus Pendidikan; Seni, Budaya & Warisan; Alam Sekitar; serta Kesejahteraan Komuniti dengan iltizam membina ekonomi yang berdaya tahan, memelihara warisan, memupuk kelestarian alam sekitar, serta membantu golongan yang memerlukan, seiring pertumbuhan bersama pihak berkepentingan.
Reka bentuk kulit hadapan yang dinamik dan transformatif ini melambangkan peranan serta sumbangan Yayasan JCorp dalam memperluas impak sosial melalui empat bidang fokus utamanya. Komposisi visual yang tersusun, dipadankan dengan garisan melengkung yang menghubungkan setiap segmen Yayasan JCorp, menzahirkan kesinambungan usaha dan aspirasi organisasi dalam membentuk impak yang bermakna terhadap kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Laporan Tahunan Yayasan Johor Corporation 2025
Di sebalik setiap usaha yang kami laksanakan, kami percaya bahawa kemajuan yang sebenar ialah perubahan yang memberi manfaat kepada kehidupan hari ini, sekali gus membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
2025 merupakan tahun yang progresif bagi Yayasan JCorp. Kami berjaya mengukuhkan reputasi sebagai sebuah organisasi yang dipercayai menerusi penerimaan pelbagai anugerah industri, kerjasama strategik, dan pemberian geran daripada pelbagai organisasi.
Pada tahun 2025, Yayasan JCorp mengubah pendekatan pendidikan dengan melangkaui sokongan bilik darjah dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat yang sejajar dengan keperluan industri negara. Melalui integrasi teknologi STEM di sekolah serta pengukuhan pendidikan vokasional di bawah program Akademi Dalam Industri (ADI), kami memastikan generasi bakat baharu di Johor bukan sahaja berpengetahuan, malah bersedia menempuh alam pekerjaan sebenar. Kami akan terus merapatkan jurang antara pencapaian akademik dan keperluan ekonomi semasa agar tiada pelajar yang tercicir.
Yayasan JCorp melihat budaya bukan sekadar warisan, malah sebagai sumber ekonomi. Pada tahun 2025, kami menyediakan platform kepada lebih 350 artis dan menghidupkan semula industri tenunan tradisional serta menjadikannya sumber pendapatan. Menerusi inisiatif seperti Pentas Seni Johor, kami terus menyemarakkan budaya negeri ini bagi memelihara dan mengetengahkan identiti uniknya sebagai lambang kebanggaan serta pemacu ekonomi serantau, selaras dengan agenda Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Komitmen alam sekitar Yayasan JCorp pada tahun 2025 memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekosistem dengan hasil yang jelas dan boleh diukur. Dari dasar laut Pulau Aur hingga ke lanskap daratan di seluruh Johor, projek pemuliharaan utama kami berjaya mencapai kadar kelangsungan hidup 100% bagi pemulihan terumbu karang, serta mencapai perkembangan ketara dalam penyerapan karbon. Melalui penglibatan aktif sukarelawan dan pelaksanaan hab kitar semula yang inovatif, kami bukan sahaja melindungi alam sekitar, malah membina ekosistem yang membolehkan alam semula jadi dan komuniti berkembang secara seimbang dan mampan.
Kesejahteraan sebenar diukur melalui keupayaan golongan yang paling memerlukan untuk bangkit dan terus maju. Pada tahun 2025, Yayasan JCorp terus memperluas impaknya melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada ribuan penerima. Dengan meningkatkan kemahiran pesara tentera, menyokong penjaga dalam komuniti autisme, serta membuka laluan kerjaya kepada golongan orang kurang upaya, kami bukan sekadar menyalurkan bantuan, malah membantu mewujudkan perubahan yang berkekalan dalam kehidupan mereka. Kami komited membina sebuah masyarakat di mana setiap individu memiliki alat dan peluang untuk mencapai kemakmuran berterusan.